Thursday, 19 March 2009

Analisis SPM 2008

PUTRAJAYA: Seramai 6,277 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran, meningkat 24.05 peratus berbanding 5,060 pada 2007.


Keputusan peperiksaan itu juga menunjukkan peningkatan kelulusan dalam Sains dan Matematik, sekali gus membuktikan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjejaskan pencapaian pelajar.

Mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini semalam, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata prestasi calon bandar dan luar bandar serta pada peringkat nasional bagi mata pelajaran itu terus meningkat.


Subjek Sains mencatat kelulusan 91.2 peratus berbanding 87 peratus pada tahun sebelumnya, manakala Matematik 77.5 peratus berbanding 75.8 peratus pada 2007.


Seramai 442,936 calon menduduki SPM tahun lalu, yang menjadi kumpulan kedua mengikuti PPSMI sejak Tingkatan Satu pada 2003.

Alimuddin berkata, calon yang memperoleh gred 1A dalam semua mata pelajaran juga meningkat, iaitu seramai 1,676 orang berbanding 892 pada tahun sebelumnya.

Tiga calon mendapat keputusan 1A dalam semua 16 subjek diduduki; 15 mata pelajaran (dua); 14 mata pelajaran (enam); 13 mata pelajaran (41); 12 mata pelajaran (229); 11 mata pelajaran (610); 10 mata pelajaran (614) dan sembilan mata pelajaran (171).

Seramai 10,080 calon pula berjaya memperoleh 10A atau lebih, 5,863 memperoleh 9A dan 5,909 (8A).

Beliau berkata, 181,416 calon atau 46.7 peratus lulus semua mata pelajaran berbanding 175,452 calon pada 2007.

"Seramai 208 atau 47.8 peratus daripada 435 calon berkeperluan khas pelbagai kecacatan pula berjaya mendapat sijil SPM berbanding 189 pada tahun sebelumnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...