Friday, 17 October 2008

Berita Hari INI!

MALAYSIA vs SIERRA LEONE
HARI INI..
MALAYSIA BOLEH!


TANPA mahu bersembunyi, hajat B Sathianathan adalah jelas - merampas semua mata apabila menentang wakil Afrika, Sierra Leone dalam perlawanan kedua, Kumpulan A kancah Pestabola Merdeka, hari ini.

Apapun, pengendali skuad negara itu yang sudah masak dengan gelagat anak buah yang mudah terumbang ambing dalam halangan berikut memberi teguran keras agar setiap pemain usah mengambil mudah selepas mengecapi kemenangan 4-0 ke atas Nepal dalam perlawanan pembukaan, kelmarin.

“Saya tidak kisah sama ada Sierra Leone menurunkan skuad utama atau remaja kerana jika mereka menurunkan barisan pelapis sekalipun saya tetap yakin ia bukan perlawanan mudah.


“Tiada perlawanan mudah apabila berdepan mana-mana pasukan Afrika dan sudah pasti lawan esok (malam ini) jauh lebih kuat daripada Nepal. Apa yang penting bagi saya ialah pemain berpeluang beraksi dalam beberapa perlawanan sebelum ke Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Disember ini,” katanya.

Pengendali itu turut enggan merungut mengenai keadaan padang yang kurang memuaskan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya kelmarin, kerana baginya pemain-pemain harus menyesuaikan diri dalam apa sekalipun keadaan padang.

Pada pengamatannya, skuad negara tetap berjaya mempamerkan aksi permainan baik ketika berdepan Nepal meskipun kadang-kala beberapa hantaran tersekat gara-gara keadaan padang yang lembap akibat hujan.

“Memang keadaan padang kurang memuaskan, tetapi bagi saya pemain-pemain harus bersedia beraksi dalam keadaan padang yang kurang baik sebagai persediaan sebelum beraksi di Bangkok pada Piala AFF nanti.

“Keadaan padang di Bangkok juga tidak kurang bezanya dengan di sini, oleh itu saya berasa ia adalah persediaan baik buat pemain membiasakan diri mereka bermain di atas padang yang kurang baik.

“Saya berpuas hati dengan aksi pemain ketika berdepan Nepal, walaupun keadaan padang kurang baik mereka tetap mengejar setiap bola apabila kami terlepas penguasaan dan saya mahukan aksi seperti itu berterusan esok (malam ini),” kata Sathia.



sumber:berita harian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...