Tuesday, 27 January 2009

Jatuh Dari Tingkat 4

AMPANG: Gara-gara ingin menangkap seekor anak burung merpati, seorang pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Taman Tasik Tambahan, Ampang Jaya di sini nyaris maut apabila terpijak siling yang tidak beralang sebelum terhempas jatuh dari bangunan empat tingkat sekolah itu.

Mangsa, Shamsul Hashim, 10, ketika kejadian dipercayai cuba menangkap anak burung berkenaan dengan memanjat ruang siling yang terbuka sebelum mengekori sasarannya itu yang terbang masuk ke bumbung bangunan sekolah terbabit.

Bapa mangsa Hashim Delan, 52, berkata anaknya belajar di sesi pagi sekolah itu dan dia tidak mengetahui mengapa anaknya pergi ke sekolah itu pada waktu petang.

“Sebaik ingin menunaikan solat Asar, seorang rakannya datang ke rumah dan memaklumkan saya berhubung kejadian berkenaan sebelum saya bergegas pergi mendapatkannya,” katanya.




Sebaik tiba di tempat kejadian, difahamkan mangsa sudah dibawa ke hospital oleh gurunya.


Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, ketika ditemui di perkarangan bilik rawatan kritikal Hospital Ampang berkata, setakat ini mangsa berada dalam keadaan stabil.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa cuba menangkap burung itu dan terpijak siling yang tidak mempunyai alang.

“Sebaik terpijak, siling itu roboh sekali gus mangsa yang tidak sempat berpaut terus terjunam ke bawah,” katanya.

Dengan separuh daripada bahagian badannya terperosok dalam longkang, beberapa rakannya yang berada berhampiran kemudian memaklumkan kepada guru berhubung insiden itu.

Berikutan kejadian itu, mangsa patah kaki kanan dan masih menunggu hasil keputusan ujian X-Ray.


Hmetro.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...